Sabar… jangan pulang kampung dulu

KUCHING: Jangan benarkan ahli keluarga dari luar kampung pulang balik berhari Raya atau Gawai di kampung dan semua penduduk harus bersabar demi kebaikan bersama.

Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya menasihati masyarakat agar patuh dengan arahan kerajaan sepanjang PKPB untuk tidak pulang ke kampung.

“Anda tidak perlu pulang ke kampung halaman sepanjang PKPB, kerana ia dikhuatiri boleh memberi kesan kepada zon hijau kini khasnya di luar bandar.

“Diharap supaya terus akur kepada arahan PKPB. Kalau keluar gunakan pelitup mulut muka, jaga jarak satu meter dan jangan bersentuhan.

“Apabila keluar untuk mendapatkan barang keperluan setelah selesai maka segeralah pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Jelasnya, bagi yang mahu merentas daerah mereka dinasihatkan perlu meminta permit kebenaran daripada polis.

“Jangan merentas daerah tanpa permit, ia salah di sisi undang- undang.

“Seboleh-bolehnya permohonan permit boleh dibuat dua hingga tiga hari lebih awal daripada tempoh perjalanan dan rancang perjalanan keluar kawasan dengan baik dalam tempoh ini,” katanya lagi.

Suara Sarawak