RAMAI yang tidak sabar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan. Bagaimanapun, lebih ramai lagi mahu wabak Covid-19 berakhir dengan angka sifar sekali gus berakhirnya PKP.
Tidak guna kes Covid-19 terus menurun hanya beberapa ketika namun melonjak semula sehingga menyebabkan kegusaran rakyat.
Adakah anda mahu PKP ditamatkan segera?
Sedangkan beberapa bulan lagi ia dilaksanakan semula? Jika ia berlaku, usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengekang wabak ini sebelum ini hanya sia-sia? Kita harus belajar daripada kesilapan negara jiran, Singapura.
Mengikut pakar, PKP boleh ditamatkan jika jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini terus menurun, manakala kes sembuh meningkat mengatasi kes baharu bagi tempoh dua minggu berturut-turut.
Malah trend penurunan itu tidak boleh diukur dalam tempoh dua atau tiga hari, sebaliknya perlu selaras dengan tempoh inkubasi virus Covid-19 iaitu selama 14 hari.
Sudah tentu paling ideal ialah kes menurun hingga angka kosong dalam tempoh dua minggu, tetapi itu tidak realistik. Namun kita boleh jadikan penurunan kes baharu Covid-19 berbanding kes sembuh, sebagai antara petanda menggambarkan jumlah kes aktif serta bilangan individu yang memerlukan rawatan semakin berkurangan.
Jika PKP ditamatkan berdasarkan penurunan kes selama beberapa hari sahaja, ia tidak menggambarkan situasi sebenar dan berisiko untuk berlaku semula jangkitan dan kluster baharu hingga PKP terpaksa dilaksanakan semula.
Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud menekankan beberapa faktor lain sebelum PKP boleh ditamatkan. Antaranya memastikan pengasingan dan kuarantin yang sempurna bagi semua kluster jangkitan Covid-19, selain kesiapsiagaan kerajaan mengawal penularan kes import.
Selain itu, menjadi keutamaan antara kluster yang perlu dibendung ialah membabitkan warga asing. Semua warga asing sama ada sah atau tidak, harus faham mesej yang ingin disampaikan seperti penjarakan sosial, memakai topeng muka, membasuh tangan dan menjaga etika batuk.
Kita juga perlu bersedia mengatasi penularan semula Covid-19 oleh warga asing, contohnya dari negara jiran, yang datang ke negara ini sama ada melalui pintu masuk sah atau menerusi lorong tikus. Sesungguhnya negara jiran ketika ini menyaksikan ledakan kes yang ketara dan warganegara itu berisiko mencetuskan kluster kes import di Malaysia selepas PKP berakhir.
Selain itu katanya, kerajaan perlu merangka prosedur atau garis panduan baharu bagi sektor industri dan pendidikan dalam berdepan ‘kebiasaan baharu’ untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, dengan turut mengambil kira kemungkinan wabak ini atau epidemik lain, kembali tercetus pada masa depan.
Bagi industri pula, kerajaan perlu melaksanakan taksiran risiko bagi mengenal pasti industri yang berpotensi terdedah kepada jangkitan Covid-19 dan sebaliknya, sebelum menyediakan panduan untuk membenarkan mereka kembali beroperasi.
Kerajaan juga mungkin boleh memperluaskan aktiviti bagi sektor yang dibenarkan beroperasi sebelum ini, sekiranya tiada kes baharu direkodkan.
Sekolah dan universiti pula, memerlukan perubahan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, dengan menggariskan kaedah ia dilaksanakan secara dalam talian, bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan mahasiswa.
Kaedah penilaian pelajar juga perlu berubah, antaranya bagaimana peperiksaan boleh dilaksanakan dalam cara berbeza yang mengurangkan risiko jangkitan. Sesungguhnya perancangan bermula dari sekarang amat perlu supaya wabak Covid-19 tidak akan menular serta akan terus mati di muka bumi Malaysia dan di peringkat global.



