
KUCHING: Sebanyak 727 program dirancang Saberkas sempena ulang tahun ke-50 jubli emas pada tahun hadapan.
Presiden Saberkas Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini terdapat 164 aktiviti berjaya dilaksanakan SABERKAS tahun ini.
“Ini jelas menunjukkan penglibatan SABERKAS dalam agenda pembangunan komuniti dan belia, terutamanya di Sarawak.

“Untuk jubli emas 50 tahun hadapan, program dibahagikan kepada tiga kluster iaitu kluster pendidikan, kepimpinan dan latihan, kluster sosial, rekreasi dan kebajikan dan kluster ekonomi dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas ke-55 di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, ketika ini, Saberkas mempunyai 78 cawangan seluruh negeri dan mempunyai 50,000 ahli yang dialu-alukan menyumbang sebarang idea aktiviti untuk Saberkas.
“Setiap cawangan amat aktif dalam menganjurkan program. Contoh seperti Karnival Sukan Saberkas (KASUS), Saberkas Prihatin dan lain-lain, kita sentiasa ada.
“Mereka (ahli Saberkas) akan sentiasa di lapangan bersama-sama komuniti kerana mereka mahu menyemai semangat kemasyarakatan terutama dalam kalangan belia,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa Saberkas adalah platform untuk membentuk pemimpin muda dan mengambil perhatian tentang peranan penting yang dimainkan oleh belia dalam pembangunan sesebuah negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan hubungan negeri-persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Adun Daro Setiausaha Agung Saberkas Shafiee Ahmad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Gerald Rentap Jabu dan ahli Saberkas yang lain.