Saberkas asah bakat kepimpinan golongan muda

DARO: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) mampu menjadi medium paling berkesan dalam mengasah bakat-bakat kepemimpinan masa hadapan.

Setiausaha Agung Saberkas Sarawak, Safiee Ahmad berkata, kewujudan Saberkas mencerminkan komitmen kerajaan dalam menghargai peranan generasi muda serta bakat-bakat baharu.

Penyertaan mereka dalam Saberkas katanya, bukan sahaja mampu memperlihatkan keupayaan anak muda dalam menjalankan program malahan memberikan impak positif kepada masyarakat secara am.

“Saya cukup kagum melihat komitmen belia menjayakan Karnival Sukan Saberkas (KASUS). Mereka mampu mengelolakan setiap acara dengan baik malah mendapat sambutan luar jangkaan.

“Ini membuktikan anak-anak muda mampu menyerlahkan bakat kepimpinan mereka melalui Saberkas,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Kasus Saberkas Daro 2019, semalam.

Safiee menyampaikan hadiah kepada pemenang bola jaring.

Beliau berkata, Saberkas juga wajar dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform dalam menyatukan belia menerusi penganjuran aktiviti sukarelawan terutama yang berorientasi sukan, kemasyarakatan dan kemahiran.

Malah melalui penganjuran KASUS katanya, golongan belia dapat mengetengahkan bakat mereka dalam sukan sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah.

“Saberkas ini dapat digunakan sepenuhnya untuk menyatukan semua belia dan beliawanis di Daro ke arah aktiviti sukarelawan yang lebih bermanfaat,” ujarnya.

Kasus Daro yang bermula 26 September lalu diserikan dengan pelbagai program menarik termasuk kursus kemahiran mengunting rambut, pertandingan futsal, bola jaring dan beyblade.

“Saya berharap kita dapat meneruskan penganjuran program ini pada masa akan datang,” katanya.

Antara belia yang hadir memeriahkan program.

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau berkata, kerajaan membina prasarana sukan dalam memastikan masyarakat khususnya golongan belia dapat beriadah dan bersukan dengan aktif.

Menurutnya, di kawasan DUN Daro contohnya pelbagai prasarana sukan dibina menggunakan peruntukan disediakan oleh Kerajaan Sarawak.

“Banyak projek pembangunan fizikal di kawasan memberi fokus kepada pembangunan untuk kebaikan belia sekaligus membuktikan kita tidak mengabaikan golongan ini,” katanya.

Majlis yang turut dihadiri pemimpin masyarakat itu diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk karaoke, persembahan live band, senamtari poco-poco dan cabutan tiket bertuah.