Saberkas Jemoreng sedia sahut cabaran Kasus 2019

MATU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) cawangan Jemoreng bersedia menyahut cabaran untuk menjayakan Karnival Sukan Saberkas (Kasus) pada penghujung Ogos depan.

Timbalan pengerusi cawangan, Abang Ikhsan Abang Abdul Ghani berkata, selain sukan, program itu juga akan diserikan dengan pelbagai acara menarik yang sesuai untuk belia setempat.

Menurutnya, program itu dilihat sebagai penghormatan untuk Saberkas Jemoreng kerana mereka terpilih untuk menganjurkannya.

“Sehubungan itu, kita telah mengadakan satu mesyuarat bersama Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie yang juga Pengerusi Saberkas Jemoreng.

“Mesyuarat itu merupakan sebahagian persiapan awal kita untuk memastikan program ini berjalan lancar mengikut perancangan,” katanya.

Abang Ikhsan berkata, antara program sukan yang tersenarai dalam program berkenan ialah Futsal Lelaki, Bola Jaring Wanita dan Badminton Campuran Beregu lelaki serta wanita.

Futsal lelaki katanya, dijangka akan berlangsung di Padang Futsal Kampung Pergau, Bola Jaring di Padang Bola Jaring Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Igan manakala Badminton pula di gelanggang badminton Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD).

“Saya mewakili seluruh jawatankuasa mengucapkan terima kasih atas pemilihan Saberkas Jemoreng untuk menganjurkan program ini.

“Kita menetapkan 31 Ogos hingga 1 September sebagai tarikh penganjurannya,” katanya.

Suara Sarawak