SARIKEI : Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) mengagihkan 2,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai sempena Ramadan di Kampung Seberang di sini, semalam.
Ketua Biro Media dan Penyiaran Saberkas Kuala Rajang Razali Jidi berkata, program yang melibatkan kerjasama penduduk kampung itu bertujuan mengimarah sambutan Ramadan di samping merapatkan hubungan Saberkas dengan masyarakat.

“Program yang dianjurkan bersama PBB Kuala Rajang ini bermula pada jam 9.30 pagi dengan menyediakan bahan dan kelengkapan, disusuli gotong-royong memasak bubur hingga membungkus dan mengagihkannya kepada penduduk.
“Program turut disertai golongan belia dari sekitar Kampung Seberang” katanya kepada Suara Sarawak.
Razali berkata, program merupakan kesinambungan pelaksanaan aktiviti anjuran Saberkas sempena Ramadan setiap tahun.
Aktiviti itu ujarnya, bukan sahaja mengeratkan hubungan ahli Saberkas tetapi juga memupuk muafakat dan kerjasama dalam kalangan komuniti setempat.
“Saya amat gembira dan teruja melihat semangat tinggi ditunjukkan oleh mereka menyediakan makanan tradisi ini walaupun kepenatan seharian berpuasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dalam membantu kelancaran program berkenaan.