Saberkas mahu tubuh 10 cawangan baharu

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) berhasrat untuk menubuhkan 10 lagi cawangan. Setakat ini, Saberkas mempunyai 46,000 ahli dan 72 cawangan di seluruh negeri. Setiausaha Agung Saberkas, Safiee Ahmad berkata, dengan penubuhan 10 cawangan itu, Saberkas akan mempunyai 82 cawangan.

Jelasnya, beberapa cawangan Saberkas yang belum ditubuhkan akan dikenal pasti dan taklimat akan diadakan untuk penubuhan cawangan itu. Kata Safiee lagi, penubuhan cawangan itu berdasarkan persempadanan Dewan Undangan Negeri bagi memudahkan urusan pentadbiran.

“Saberkas di peringkat cawangan atau daerah adalah platform untuk belia terlibat aktif dalam pertubuhan ini,” ujarnya kepada media selepas perasmian Kelab Saberkas di Kampus Cawangan Segi College di Simpang Tiga baru-baru ini.

Kelab Saberkas di Kampus Cawangan Segi College Simpang Tiga mempunyai 71 ahli yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Segi College.

Ditanya tentang penglibatan Saberkas menjadi pemerhati pilihan raya untuk Pilihan Raya Negeri akan datang Safiee berkata, Saberkas merupakan NGO yang mengetengahkan bakat-bakat belia di negeri ini.

Tambahnya, jika mempunyai keperluan sebagai pemerhati, ia tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. “Saberkas tidak terlibat dalam politik, bukan pertubuhan politik. “Hala tuju Saberkas jelas iaitu untuk membangunkan pertubuhan belia di negeri ini,” katanya.

Suara Sarawak