SARIKEI: Kerajaan Sarawak akan terus memberi sokongan terhadap program pembangunan belia kerana sedar peranan penting golongan itu sebagai penyumbang utama kepada kemajuan negara.
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, komitmen kerajaan adalah jelas untuk membantu belia melalui pelbagai pendekatan termasuk menggalak kewujudan pertubuhan sukarela bagi menarik penyertaan dalam aktiviti yang lebih sihat.
Katanya, usaha itu juga memberi tumpuan kepada aspek pembangunan program belia bagi memastikan mereka mampu menyerlah dalam pelbagai bidang.
“Saya melihat Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) sebagai sebuah badan yang cukup aktif menganjurkan aktiviti. Ini satu perkembangan yang amat sihat dan perlu diteruskan.
“Sehubungan itu, saya berharap Saberkas Meradong terus aktif memainkan peranan sebagai platform komuniti belia untuk mengasah bakat sekali gus membentuk keperibadian mereka,” katanya kepada media selepas menyempurnakan agihan bubur lambuk sempena Jerayawara Bubur Lambuk anjuran Saberkas Meradong, semalam.

Sebanyak 300 pek bubur lambuk diagihkan dalam program yang melibatkan penyertaan 20 ahli Saberkas Meradong.
Edaran bubur lambuk secara percuma yang disempurnakan oleh Kuong Hiing merangkap Pengerusi Saberkas Meradong itu adalah untuk berkongsi supaya masyarakat dapat menikmatinya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi I Saberkas Meradong, Qalam Iko dan Timbalan Pengerusi II Saberkas Meradong, Ley Chee Hua.