Penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Saddi, memilih untuk tidak tergesa-gesa menghasilkan karya baharu apabila tampil dengan single terkininya berjudul ROMANSA. Menurut Sabhi, setiap lagu yang diterbitkan perlu mempunyai identiti tersendiri dan mampu meninggalkan kesan kepada pendengar.
Justeru, beliau lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti dalam perjalanan seninya. Katanya, beliau tidak menetapkan tempoh tertentu untuk melancarkan lagu baharu. Sebaliknya, beliau mengambil masa mencari komposer, penulis lirik dan karya yang benar-benar sesuai sebelum bersetuju merakamkannya.
Tambahnya, kejayaan Cinta Sesungguhnya sebelum ini menjadikan beliau lebih berhati-hati dalam memilih lagu bagi mengekalkan kepercayaan peminat terhadap kualiti muzik yang dibawakan. Single ROMANSA menyaksikan Sabhi bergandingan dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna.
Lagu itu mengisahkan perjalanan cinta dua insan yang diuji pelbagai cabaran sebelum dipertemukan semula, sekali gus menyampaikan mesej mengenai kesetiaan, pengorbanan dan penghargaan terhadap insan tersayang. Farouk berkata, inspirasi menghasilkan lagu tersebut tercetus daripada pengalaman hidup serta kisah-kisah di sekelilingnya.
Beliau berharap mesej yang dibawa menerusi ROMANSA dapat mengingatkan masyarakat agar menghargai insan yang disayangi sebelum terlambat. Pada masa sama, Sabhi turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik video ROMANSA.
Antara cabaran terbesar sepanjang penggambaran ialah membimbing pelakon baharu supaya dapat menghayati setiap babak dengan emosi yang lebih mendalam.
Walaupun sering dikaitkan dengan lagu bertemakan cinta dan perkahwinan, Sabhi mengakui tidak kisah digelar sebagai penyanyi wedding atau penyanyi perkahwinan.
Baginya, apabila lagunya dipilih untuk mengiringi detik istimewa pasangan yang mendirikan rumah tangga, ia merupakan satu penghargaan yang amat bermakna.
ROMANSA kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital dan diharap mampu mengulangi kejayaan Cinta Sesungguhnya, sekali gus terus mengukuhkan nama Sabhi Saddi dalam industri muzik tempatan.






