ARTIKEL

Sabung ayam di ladang kelapa sawit, Polis Julau tahan tujuh individu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SARIKEI: Seorang lelaki warga emas menjadi salah seorang daripada tujuh individu yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti sabung ayam di ladang kelapa sawit di Pakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan (Dsp) Andam Sulin berkata, serbuan menerusi ops dadu khas itu dijalankan hasil daripada risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, antara mereka yang ditahan termasuk seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun yang gagal meloloskan diri ketika serbuan pada jam 3.00 petang itu dilakukan.

“Apabila pihak polis sampai di tempat kejadian, sekumpulan individu lari bertempiaran ke kawasan hutan berhampiran. 

“Bagaimanapun polis berjaya menangkap tujuh orang lelaki berbangsa Iban yang berumur lingkungan 29 hingga 83 tahun. Hasil serbuan turut berjaya merampas tiga ekor ayam mati, alat penimbang, papan tertulis jadual pertaruhan, sebilah taji dan juga wang tunai berjumlah RM 114,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999. 

Jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek boleh didenda tidak melebihi RM 2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

“Oleh itu, pihak polis ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam terutama di kawasan Julau dan Pakan. 

“Saya juga meminta kerjasama orang ramai agar terus menyalurkan sebarang maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis,” tambahnya.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU