SAC Mohd Salahhuddin Che Ali Ketua JSJ Sarawak baharu ke-27

KUCHING: Senior Asisten Komisioner Mohd Salahhuddin Che Ali hari ini dilantik secara rasmi sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Jenayah ke-27 Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak.

Anak kelahiran Kelantan yang telah berkhidmat selama 25 tahun dalam PDRM itu dilantik selepas SAC Denis Leong dipindahkan ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Narkotik Penguatkuasaan Pencegahan Am.

Majlis Serah Terima Tugas antara pemangku jawatan iaitu ACP Zulfikar Mohd Ghazali bersama Salahuddin berlangsung lancar sambil disaksikan oleh Pesurujaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Salahuddin ketika berucap dalam majlis itu menegaskan lantikan tersebut sememangnya lumrah dalam bidang kepolisan di samping mendedahkan ia merupakan perjalanan keduanya ke Borneo.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menabur bakti di Sarawak.

“Kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul tanggungjawab ini amat besar.

“Semestinya saya akan memberikan sebaik mungkin perkhidmatan untuk masyarakat Sarawak dan PDRM secara keseluruhan,” katanya.

Aidi sementara itu dalam ucapannya melahirkan keyakinan bahawa Salahuddin dapat menjalankan tugas sebagai JSJ Sarawak dengan baik berdasarkan pengalaman dan pengetahuan beliau sepanjang bertugas dalam bidang kepolisan sebelum ini.