Sadong Jaya jadi tumpuan badminton berpasukan

DAERAH Sadong Jaya akan menjadi tumpuan peminat sukan bulu tangkis apabila berlangsung Pertandingan Badminton Berpasukan Tertutup Samarahan 2020, Piala Adun N.24, Ir Aidel Lariwoo.

Pertandingan anjuran Kelab Badminton Sadong Jaya dengan kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangann Sadong Jaya akan berlangsung selama tiga hari pada 27, 28 dan 29 November bertempat di Kompleks Sukan Komuniti Sadong Jaya.

Pengerusi Pertandingan, Kaunselor Jamil Harbi memberitahu, pertandingan tersebut yang bakal menghimpunkan pasukan handalan sekitar Samarahan.

“Kami menjangkakan saingan untuk pertandingan ini meriah kerana bakal menghimpunkan pasukan handalan seluruh Bahagian Samarahan,” ujar Jamil kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Katanya, setakat ini hampir 20 pasukan yang sudah menyatakan minat untuk bersaing dalam pertandingan tersebut.

Jamil berkata, menariknya pertandingan tersebut ialah pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima hadiah wang tunai RM2,500 beserta piala dan pingat.

Naib juara pula akan menerima wang tunai RM1,000 termasuk piala dan pingat. Dua pasukan yang tewas diperingkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM500 dan pingat.

Suara Sarawak