Sahabat Amal Care bantu golongan kurang bernasib baik

KUCHING: Sahabat Amal Care Sarawak sedia membantu golongan kurang bernasib baik untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam pelbagai bidang seperti pertanian, usahawan, pendidikan dan kesejahteraan rumah tangga.
Pengerusi Sahabat Amal Care Sarawak, Wan Lukmanhakim Wan Sajeli berkata, sebagai sebuah badan amal untuk melaksanakan tugas bukan sesuatu yang boleh dianggap mudah, namun ia pasti dapat dilaksanakan dengan bantuan dan sokongan pelbagai pihak.
Katanya, pihaknya terharu dengan bantuan yang dihulurkan terutama bagi memastikan projek yang dirancangkan dapat dilaksanakan.
Menurutnya, Sahabat Amal Care Sarawak dianggotai golongan profesional dan berkemahiran dalam sesuatu bidang terutama pertanian.
“Sahabat Amal Care Sarawak akan melaksanakan projek ternakan lembu atau binatang peliharaan lain di beberapa lokasi terpilih di negeri ini terutama di wilayah tengah Sarawak.
“Projek ini akan diserahkan kepada penduduk yang tergolong dalam ‘hidup susah’ dan apabila ia berhasil kelak projek ini pasti dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
“Untuk tujuan ini, Sahabat Amal Care bukan sahaja mencari baka ternakan tetapi turut menyediakan golongan pakar atau yang berkemahiran dalam bidang berkaitan,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.
Wan Lukmanhakim berkata, sebelum ini Sahabat Amal Care Sarawak telah banyak melakukan projek amal dan motivasi serta ceramah agama kepada penduduk di beberapa kawasan di negeri ini.
Katanya, projek amal turut meliputi program memberi bantuan makanan tambahan kepada penduduk miskin yang terjejas teruk kesan daripada wabak Covid-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Selain itu, Sahabat Amal Care Sarawak juga membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan di Kabong melaksanakan urusan berkhatan untuk anak-anak mereka.