SARIKEI: Berkumpul seawal jam tiga pagi sebelum berarak sekeliling kampung dengan memukul tong dan meniup alat bunyian. Rata-ratanya mereka berusia antara 14 hingga 45 tahun.

Itulah gelagat para belia yang memeriahkan program ketuk sahur di Kampung Seberang Sarikei pagi tadi.

Program bermula di Masjid Ar Rahmah yang disertai lebih 60 belia kampung itu bertambah gamat dengan laungan ‘sahur sahur’ secara beramai-ramai membangunkan penduduk setempat untuk bersahur.

Pengerusinya, Azman Ogeng berkata, program sukarela itu melibatkan kerjasama antara usahawan belia Sarikei dan ahli jawatankuasa Masjid Ar-Rahmah.

“Kita menggunakan tong bagi menggantikan beduk kerana sukar untuk mendapatkan alat berkenaan. Selepas membangunkan penduduk untuk bersahur, mereka kembali masjid untuk mendengar takzirah dan bersolat subuh berjemaah.

ntara belia yang memeriahkan program ketuk sahur di Kampung Seberang Sarikei.

“Program pertama ini percubaan kami untuk tahun ini sahaja. Alhamdulillah perlaksanaannya berjalan dengan lancar dan mendapat sokongan padu semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, selain menyerikan sambutan Ramadan, program juga dilihat mampu mengeratkan lagi hubungan dan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk.

Selain itu katanya, aktiviti tersebut juga merupakan sebahagian inisiatif penganjur untuk menghidupkan kembali tradisi berkenaan.

“Pada masa yang sama, kita juga menganggapkannya sebagai salah- satu bentuk ibadah agar penduduk bangun dan tidak terlambat untuk bersahur,” jelasnya.

Belia berarak sekeliling kampung sambil memukul tong

Suara Sarawak