SERIAN: Saingan Liga Serian 2023 akan disingkap tirainya 2 Julai depan dan bakal menyaksikan pertembungan menarik pasukan terlibat bagi pemburuan gelaran juara.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA), Phillip Jabu menegaskan, setakat ini 11 pasukan sudah mengesahkan penyertaan mereka.
Bagaimanapun tegas Phillip, setakat ini hanya satu sahaja slot yang masih belum terisi bagi memenuhi senarai 12 pasukan yang yang disasar pihaknya sebelum ini.
“Hadiah lumayan menanti empat pasukan terbaik musim ini,’ katanya ketika ditemui Arena Suara Sarawak pada majlis rumah terbuka Gawai Dayak di kediaman beliau, di Serian semalam.
Sang juara katanya, akan menerima wang tunai RM6,000 beserta piala dan pingat. Manakala, naib juara pula akan menerima wang tunai RM4,000 termasuk piala dan pingat.
“Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing akan menerima wang tunai RM2,000,” tambah Phillip lagi.