Saingan sengit dunia pekerjaan selepas Covid-19

APABILA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April, mungkin pelbagai perasaan timbul dalam diri. Ada yang menarik nafas lega dan reda menerima pengumuman tersebut.

Namun, tidak kurang juga yang berasa gelisah dan risau memikirkan nasib dan masa depan selepas PKP ini tamat kelak. Boleh dikatakan, debaran ini mungkin lebih terasa dalam jiwa anak-anak muda yang baharu sahaja ingin melangkah sebelah kaki ke alam pekerjaan.

Antara bayangan yang kita perlu bersedia untuk hadapi adalah kewujudan dunia baharu selepas pandemik. Kita kemungkinan akan menyaksikan jumlah pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan. Jadi, mengapa jumlah penggangguran tinggi terutamanya dalam kalangan graduan berlaku?

Boleh dikatakan persekitaran semasa dunia pekerjaan yang kembali sama seperti zaman kegawatan. Tidak dinafikan, sektor ekonomi antara yang paling terkesan sejak penularan Covid-19.

Ekonomi terjejas Memetik kenyataan daripada Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia dalam Kewangan, Daya Saing dan Inovasi Amalan Global, Smita Kuriakose, kesan terhadap ekonomi Malaysia dijangka besar berdasarkan kesan negatif Covid-19 ke atas pelaburan langsung asing (FDI), komoditi dan pelancongan selain kejutan domestik susulan PKP.

Beliau berkata secara global, perdagangan telah merosot sama dengan fasa paling teruk krisis kewangan global 2008/2009. Ini kerana sejak 23 Mac lalu, berlakunya aliran keluar terbesar dari pasaran pesat membangun dengan rekod pada AS$83 bilion, manakala FDI global diunjurkan susut sebanyak 30 hingga 40 peratus tahun ini.

Dalam pada itu, 75 juta pekerjaan berdepan risiko kegawatan iaitu sektor perjalanan dan pelancongan, dengan dua pertiga daripadanya adalah di Asia. Di Malaysia, keadaan sekarang mungkin masih baik kerana pemecatan pekerja pada buat masa ini tidak dibenarkan atas arahan kerajaan.

Namun, sekira-nya krisis ekonomi gagal dielakkan, lamalaun pemecatan pekerjaan tetap berlaku. Pekerja yang berpengalaman ataupun pekerja yang berkemahiran akan memberi tamparan hebat kepada para graduan yang bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi.

Jadi, besar kemungkinan, selepas pandemik kelak, kita akan menyaksikan persaingan sengit antara graduan muda dan graduan lama yang mungkin terpaksa mencari kerja baharu. Kuasai kemahiran baharu Maka, apa yang boleh dilakukan oleh bakal graduan kini adalah mempersiapkan diri dengan mengasah pelbagai kemahiran yang tidak diajar dalam kelas.

Misalnya, kemahiran asas seperti Microsoft Office yang sering dipandang enteng, pada hal ia salah satu kemahiran yang paling penting untuk memulakan sesuatu pekerjaan ataupun menguasai bahasa ketiga selain bahasa Inggeris.

Bukan itu sahaja, ilmu teknologi digital perlu berada dalam genggaman mereka yang memasang impian untuk mengecapi kejayaan besar kerana industri revolusi (IR) 4.0 adalah tunjang ekonomi masa hadapan.

Mahasiswa yang berada pada tahun akhir pengajian sekarang perlu mengorak langkah mulai saat ini kerana apa yang bakal menanti jauh berbeza berbanding para graduan sebelum ini.

Suara Sarawak