Trending

SAKIT TENGKUK PETANDA SPONDYLOSIS SERVIKS

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Foto myhealth.gov.m

Spondylosis serviks ialah penyakit yang biasa dialami lebih 90 peratus golongan warga emas.

Penyakit sendi leher ini sering terjadi kerana faktor penuaan — apabila cakera serviks, tulang rawan dan tulang di bahagian tengkuk haus atau lusuh.

Spondylosis serviks juga dikenali osteoartritis serviks atau arthritis leher. 

 Ramai yang menghidapi spondylosis serviks tidak pernah mengalami sebarang gejala. 

Sesetengah pihak mungkin mengalami sakit kronik yang teruk dan tegang pada bahagian tengkuk.

Ramai juga penghidap spondylosis serviks dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa tanpa sebarang masalah.

GEJALA

Gejala yang mungkin dialami pesakit ialah kesakitan di tengkuk yang mungkin merebak sehingga ke bahagian bahu, tangan, jari dan kepala.

Pergerakan leher mungkin menambah kesakitan pada bahagian tersebut. 

Perkara ini terjadi kerana kerengsaan pada urat saraf leher berada di tangan dan leher yang berasal dari urat saraf tunjang serviks. 

 Gejala kesakitan terbabit boleh datang dan pergi dari semasa ke semasa tanpa sebab yang nyata.

Ketegangan leher juga mungkin dirasai pesakit terutamanya pada waktu malam.

Sakit kepala juga mungkin dialami pada bahagian tengkuk sehingga ke bahagian dahi.  

Penghidap spondylosis serviks juga selalunya mengalami rasa tajam seperti tusukan jarum di bahagian lengan. 

Perkara ini berlaku apabila terdapatnya kerengsaan pada saraf tulang belakang di bahagian leher. Maklumkan kepada doktor dengan segera apabila terjadinya rasa kebas atau lemah pada bahagian lengan. 

Hal ini perlu kerana berkemungkinan terjadinya tekanan pada urat saraf yang juga dikenali sebagai radikulopati serviks. 

Antara gejala yang jarang berlaku dalam kalangan penghidap sakit tengkuk ialah pergerakan tangan yang kekok, masalah berjalan atau masalah mengawal fungsi pundi kencing.

Gejala babit berlaku kerana tekanan pada tulang belakang dan cakera merosakkan urat saraf tunjang. Keadaan ini dikenali sebagai mielopati serviks.

Rawatan untuk penyakit spondylosis serviks adalah dengan memberi kelegaan kesakitan yang dialami bagi mengurangkan risiko kerosakan kekal pada bahagian serviks. Rawatan tanpa memerlukan pembedahan lebih berkesan untuk masalah ini. 

RAWATAN

 Doktor biasanya mengesyorkan pesakit untuk menjalani rawatan fisioterapi intensif. Fisioterapis membantu pesakit melakukan senaman kekuatan dan regangan pada bahagian leher dan bahu.

Senaman yang diberikan adalah untuk menguatkan bahagian tengkuk dan seterusnya membantu mengurangkan kesakitan. 

Fisioterapis juga melakukan daya tarikan tertentu di bahagian leher menggunakan pemberat bersesuaian. Rawatan ini meleraikan tekanan pada cakera serviks dan akar urat saraf dengan menambah ruang pada sendi serviks.

 Doktor juga memberi ubat-ubatan bersesuaian untuk merawat penyakit ini.

Antaranya ialah penenang otot untuk rawatan otot leher tegang, narkotik untuk melegakan kesakitan, ubat antiepilepsi untuk mengurangkan kesakitan kerana kerosakan saraf, suntikan steroid untuk mengurangkan keradangan dan kesakitan serta ubat antiradang bukan steroid untuk mengatasi keradangan tengkuk.

 Rawatan pembedahan hanya dianjurkan apabila keadaan pesakit terlalu teruk dan rawatan lain tidak memberi kesan sama sekali terhadap pesakit.

Pembedahan untuk penyakit ini melibatkan pembuangan tulang yang tumbuh berlebihan pada tulang serviks atau pembuangan cakera hernia agar urat saraf leher dan urat saraf tunjang tidak terhimpit. 

Walaupun rawatan pembedahan jarang disyorkan oleh doktor, ia boleh dianjurkan apabila pesakit mengalami kesakitan melampau dan tidak dapat melakukan pergerakan tangan.

Jika keadaan pesakit tidak terlalu teruk, rawatan sendiri di rumah boleh dilakukan antaranya dengan mengambil ubat tahan sakit yang boleh didapati di farmasi dan menuam tengkuk dengan pek panas atau pek sejuk untuk melegakan kesakitan di bahagian otot leher. 

 Jika anda bebas daripada spondylosis serviks, beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan risiko penyakit ini berlaku. Langkah pertama dengan kekal aktif secara fizikal. 

Amalkan postur dan posisi badan yang baik terutama ketika bekerja. 

Elakkan kecederaan pada bahagian leher dengan menggunakan peralatan dan pakaian bersesuaian ketika bersenam atau bersukan. Elak trauma pada bahagian leher terjadi dengan perlindungan yang baik. 

 Spondylosis serviks sering berlaku kerana faktor usia. 

Penyakit ini boleh menyebabkan ketegangan leher, ketidakselesaan, dan sakit kepala yang berpunca darpada sakit tengkuk. 

Doktor mungkin tidak dapat menyembuhkan penyakit ini sepenuhnya dengan hanya ubat-ubatan, tapi mereka boleh mengesyorkan rawatan konservatif yang dapat membantu pesakit mengatasi kesakitan yang dialami.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

SI CANTIK CILIK

»GiatMara Mambong dengan kerjasama Abe Amir Collection menganjurkan acara Pertunjukan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru