ARTIKEL

Sakit tetapi sedap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TEKNIK urutan adalah kaedah alternatif untuk melancarkan aliran darah di dalam tubuh manusia bagi melegakan kesakitan.

Ia sememangnya sakit apabila jari-jemari tukang urut menyentuh badan namun kesudahannya sangat selesa sebaik sahaja urat dapat diatur, perjalanan darah kembali lancar seperti biasa – ironinya, ia sakit tetapi sedap.

Urutan satu seni yang digunakan sejak dahulu oleh pelbagai bangsa terutama masyarakat Melayu bagi rawatan tradisional.

Tukang urut yang pakar dengan urutan lazimnya akan tahu bahagian yang mana wajar diurut dan urat yang berkaitan dan di kawasan mana yang sakit.

Tukang urut tradisional Atton Abu Bakar,60 atau dikenali sebagai Mak Ton, berkongsi cerita menarik mengenai pengalamannya 20 tahun mengurut pelanggan.

“Saya pernah disepak pelanggan yang nyanyuk ketika mengurut kaki.

Selain disepak, ada pelanggan yang menampar dinding mungkin kerana berasa sakit ketika saya menyentuh kawasan atau urat yang tepat untuk diurut.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah mengambil hati kerana saya tahu pelanggan tidak sengaja berbuat demikian.

“Apabila saya meminta maklum balas selepas mereka diurut, Alhamdulillah mereka menghubungi saya dengan gembira kerana sakitnya telah hilang,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Tambahnya, awal penglibatan dalam dunia urutan tradisional ini, beliau belajar daripada arwah nenek saudaranya yang merupakan bidan kampung.

“Untuk meningkatkan kemahiran mengurut termasuk urutan ibu berpantang, saya mengikuti pelbagai kursus seperti kursus Mama Care yang dianjurkan oleh Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) serta kursus perbidanan.

“Dengan kemahiran ini, saya tahu cara menguruskan ibu berpantang. Ia juga dapat meningkatkan kepercayaan dalam kalangan pelanggan,” ujarnya.

Mak Ton memaklumkan, beliau menawarkan pelbagai jenis urutan kepada pelanggan termasuk urutan saraf, strok, sengkak rahim dan urutan selepas bersalin.

“Saya juga menawarkan perkhidmatan bekam, bertangas, menyediakan ubat-ubatan tradisional untuk ibu berpantang dan menjual jamu.

“Selain itu, saya juga mendapatkan geran Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menyediakan katil dan tab mandi.

Ia membolehkan saya menyediakan perkhidmatan mandi bunga untuk pengantin, terapi termasuk meningkatkan aura diri,” jelasnya.

Menjelas mengenai penyediaan ubatan seperti jamu dan rempah, Mak Ton memberitahu, beliau dibantu ibu saudaranya untuk membuat ubat-ubatan tersebut kerana jadualnya agak padat.

“Untuk memberikan ubat kepada pelanggan yang berpantang, saya masih mengekalkan cara tradisional dan tidak membuat sebarang perubahan seperti menyediakan dalam bentuk kapsul.

“Ini kerana saya mahu mengekalkan cara tradisional dalam menjaga mereka yang berpantang dengan meminum rempah, makan jamu dan sebagainya,” jelasnya.

Menurut Mak Ton, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan beliau terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat iaitu berbangsa India, Cina, Bidayuh, Melayu dan lain-lain.

“Orang Cina juga suka dengan cara berpantang gaya Melayu.

Ini pengalaman saya sendiri kerana ada pelanggan Cina juga minum rempah, ikut menggunakan pilis (ubat yang ditempek pada bahagian kepala, menampal perut dengan ubat dan sebagainya.

“Sekarang pun, saya menjaga seorang pelanggan berbangsa Bidayuh dan suaminya doktor berbangsa India.

Pasangan ini mengikuti cara berpantang tradisional,” katanya lagi.

Menjelaskan mengenai harga pakej yang ditawarkan untuk ibu berpantang, Mak Ton berkata, ia bermula dengan harga serendah RM100 hingga RM4,900 dan mengikut permintaan pelanggan sendiri.

“Pakej RM100 ini biasanya hanya untuk urutan ibu mengandung.

Manakala harga RM4,900 merupakan pakej lengkap untuk penjagaan penuh ibu berpantang.

“Pakej premium itu termasuk bayaran penghantaran tetapi bergantung kepada kawasan, pakej ubat, minyak meroyan, minyak sawan bayi, pakej tangas kering, sauna, semua urutan pantang dan mandi lulur.

“Bagaimanapun, saya tetap terbuka menerima tempahan dan boleh berbincang mengikut kemampuan dan kehendak pelanggan,” ujarnya. Kata Mak Ton, tidak dinafikan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, terdapat kekurangan pelanggan kerana beliau sendiri menjaga SOP dengan ketat dan tidak mahu mengambil risiko.

“Ketika pergi ke rumah pelanggan sepanjang zaman wabak, saya akan memeriksa suhu badan, bertanya sama ada mereka atau ahli keluarga demam dan mendapatkan maklumat tentang perjalanan mereka.

“Dalam tempoh ini juga, saya turut mendapatkan kebenaran polis untuk ke rumah pelanggan.

Saya hanya menerima tempahan dari kawasan hijau sahaja,” tegasnya.

 

Ibu kepada lima anak itu juga meneruskan cerita, menjadi tukang urut bukan sahaja untuk mendapatkan wang semata-mata tetapi membantu masyarakat yang berikhtiar untuk sembuh melalui urutan.

“Setakat ini, anak saya sendiri masih belum ada yang belajar mengurut tetapi saya mempunyai lebih 10 murid.

“Dahulu saya hanya peniaga makanan tetapi pada usia saya 30 –an saya mula menceburi bidang urutan.

Alhamdulillah, ia bertahan sehingga kini,” jelasnya lagi.

 

LAIN-LAIN BERITA

Lelaki maut, jatuh Jambatan Batang Salak

KUCHING: Seorang lelaki menemui ajal selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Batang Salak, Jalan FAC di sini, hari ini. Komander Operasi PBK II

Sasar latih 10,000 rakyat Sarawak secara percuma

KUCHING: Kementerian Sumber Manusia mensasarkan melatih seramai 10,000 rakyat Sarawak secara percuma dalam pelbagai jenis kursus sempena Minggu Latihan Kebangsaan yang akan bermula dari 24

BERITA TERBARU

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian