Saksikan Teater ‘Projek Spektrum’ karya Anak Sarawak 20 hingga 22 September ini.

KUCHING: Sebuah persembahan teater karya seni sepenuhnya hasil tangan anak Sarawak bertajuk ‘Projek Spektrum’ bakal menemui semua peminat teater di Rumah Mahkamah Lama Kuching pada 20 hingga 22 September ini bermula jam 8 malam dan disokong sepenuhnya oleh Inxo Art Fund.

Penerbit teater Abdul Walid Ali, menjelaskan teater kali ini bakal mempersembahkan kisah salah seorang seorang anak muda (lelaki) yang menghadapi pergelutan di dalam hidup dengan sumber kewangan yang terhad serta pelbagai perjalanan kisah akan dilaluinya.

“Secara asasnya persembahan teater ini merupakan karya sepenuhnya anak tempatan dan kali ketiga kita adakan di bawah Projek Spektrum ini melalui bengkel yang telah kita adakan bersama dengan anak-anak yang bergiat dalam teater di Sarawak ini, kita telah bermula dari kosong untuk sepenuhnya membentuk skrip teater ini.

“Kita telah mulakan Projek Spektrum ini dari tahun lepas dan akan berakhir 2022, dua persembahan teater telah kita adakan pertama di Indah Cafe dan di What About Kuching tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Tambahnya lagi beliau berharap agar industri teater di Sarawak ini terus mendapat perhatian dan terus memberi inspirasi kepada ramai pihak.

“Sarawak memiliki kepelbagaian yang perlu dikongsikan kepada orang luar melalui teater ini dan berpotensi besar menjadi satu tumpuan utama kepada pembentukan bandar seni sebagaimana generasi muda perlu melakukan sesuatu untuk menggerakkan dunia teater di Sarawak ini, sama juga dengan pembentukan budaya teater melalui penonton itu sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya teater tersebut diharap dapat menghimpunkan peminat dan juga pengkritik teater dalam usaha membentuk budaya teater melalui penglibatan dan sambutan penonton sebagaimana katanya di Kuala Lumpur, teater dibangunkan dengan baik melalui persembahan dan hasil karya terbaik pengarahnya.

“Melalui itu penonton yang hadir akan lebih menghargai nilai seni teater dengan kualiti teater terbaik kita hasilkan,” ujarnya

Bagi Projek Spektrum kali ini tiket akan dijual dengan harga RM30 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Abdul Walid di talian 0111-0586861.