KUCHING: Dua lelaki tempatan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,800 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis syabu, tahun lalu.
Tertuduh Zien Kekek, 31 dan Mohammad Ashref Salleh, 45, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, Zien yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 11.45 pagi, 22 September 2022.
Manakala, Ashref didakwa positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ketika ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, kira-kira jam 2.20 petang, 28 April tahun lalu.
Pendakwaan kes bagi kedua-kedua tertuduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan polis dalam tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B akta yang sama.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara atau membayar denda.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili peguam.