Salah guna ketum semakin berleluasa

KUCHING: Daun ketum menjadi bahan terlarang tertinggi yang dirampas di Sarawak pada bulan lepas, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, daripada jumlah 20.13 kilogram pelbagai jenis dadah yang dirampas oleh polis dan kastam, sebanyak 15 kilogram daun ketum manakala 3 kilogram ganja, 304 gram syabu atau Methamphetamine, 278 gram ketamin dan 1.5 kilogram serbuk ekstasi.

Katanya, ia termasuk 32 biji pil eramin, 5,166 biji pil ekstasi dan 208 biji pil nospan. “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM413,378.

“Rampasan dadah direkodkan menunjukkan penurunan sebanyak 46.89 peratus berbanding September (37.9 kilogram),” katanya pada sidang media Laporan Berkala Pusat Sehenti Komuniti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substan (MIDS) Negeri di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur 2 di sini pada Selasa.

Sementara itu Fatimah berkata, dalam tempoh 1 hingga 30 Oktober, Sarawak merekodkan sebanyak 692 kes daripada 742 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah dan substan hasil daripada 758 operasi yang dijalankan oleh polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan kastam.

Beliau menambah sebanyak 22 kes merupakan kesalahan membekal serta mengedar dadah dan substan. Katanya, daripada jumlah tersebut, enam kes didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak melebihi 15 kali.

Beliau berkata, sebanyak 111 kes merupakan kesalahan memiliki dadah dan substan. Fatimah berkata, sepanjang tahun ini, Sarawak merekodkan sebanyak 10,201 tangkapan berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substan hasil daripada operasi yang dilaksanakan polis dan AADK.

Katanya, daripada jumlah tersebut, Kuching merekodkan tangkapan tertinggi sebanyak 3,251 diikuti Miri (1,065), Bintulu (980), Sibu (830) dan Kota Samarahan (509).