
KUCHING: Pintu masuk sebuah pusat beli-belah pecah selepas dilanggar seorang wanita berusia 20 tahun yang dikatakan tersalah masuk gear, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian yang berlaku sekitar 9.30 pagi itu berlaku apabila wanita tersebut cuba untuk meletakkan kenderaannya di ruang letak kereta.
“Wanita tersebut hendak meletakkan kenderaannya secara mengundur di salah satu kotak tempat letak kereta berhampiran dengan lobi.
“Namun, dia tersalah masuk gear lalu terlajak ke hadapan lalu melanggar pintu cermin lobi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada mangsa lain terlibat.
Mengulas lanjut, laporan trafik turut dibuat oleh wanita tersebut pada tengah hari tadi.