Salcra bayar DIVIDEN RM33.7 JUTA

KUCHING: Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) meluluskan bayaran dividen RM33.7 juta bagi 2020 kepada 12,994 peserta.
Bayaran itu dibuat sebanyak dua kali dengan bayaran pertama RM16.8 juta atau 50 peratus pada penghujung Januari, manakala baki selebihnya dikreditkan pada Julai bagi peserta yang layak.
“Jumlah dividen pada 2020 meningkat 234 peratus berbanding jumlah bayaran pada 2019 iaitu RM10.1 juta.
“Dengan peningkatan bayaran ini, jumlah peserta yang layak menerima dividen pada 2020 juga meningkat 27 peratus berbanding jumlah peserta yang layak pada tahun sebelumnya,” kata Salcra dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pembayaran dividen pada 2020 itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk harga pasaran minyak sawit, pandemik Covid-19, bilangan tenaga kerja dan juga cuaca. Difahamkan, harga pasaran minyak sawit pada tahun lalu rendah pada pertengahan pertama dan hanya menjangkau paras RM3,000 satu tan pada September.
“Situasi ini disebabkan pandemik Covid-19 yang menggugat operasi ladang, sehingga menjejaskan kemasukan para penuai yang majoritinya dari negara asing disekat.
“Ia juga diikuti keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk mengalami hujan yang tinggi, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,” katanya lagi.
Selain itu, kawasan ladang yang matang juga didapati berkurangan iaitu hanya 28,690 hektar disebabkan oleh penanaman semula.
“Daripada jumlah kawasan matang, 5,205 hektar ialah kawasan matang muda (Young Mature) dan 9,639 hektar matang tua (Old Mature),” tambah kenyataan itu.
Salcra yakin, produktiviti ladang-ladangnya akan meningkat pada tahun ini dan berharap harga pasaran minyak sawit kekal tinggi di samping pandemik Covid-19 dapat diurus supaya operasi ladang berjalan lancar.
Untuk maklumat lanjut, peserta ladang Salcra digalak menghubungi Henry Daris, Rufina Suet dan Rimong Riyu di Jabatan Pembangunan Peserta Salcra di talian 082- 621923 pada waktu pejabat.