Salun, kedai pakaian, pusat urut tidak dibenarkan beroperasi

KUCHING: Kedai pakaian, salun kecantikan, kedai gunting rambut, pusat urut serta spa dan pusat refleksologi dilarang beroperasi di kawasan PKP.
Menurut Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Desmond Jerukan, senarai yang dilarang beroperasi tersebut hanya merangkumi Daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.
“Oleh kerana terdapat kekeliruan mengenai operasi pusat spa dan refleksologi, perkhidmatan dan sektor yang tidak penting tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP,” jelasnya pada sidang media, semalam.
Bagi mereka yang masih keliru mengenai kegiatan perniagaan dan sektor ekonomi yang dibenarkan untuk beroperasi, beliau menasihati mereka untuk merujuk kepada garis panduan SOP di laman rasmi Majlis Keselamatan Nasional (NSC) di www.mkn.gov.my
Bagi Sarawak, hanya Sibu, Kanowit dan Selangau yang berada di bawah PKP, dengan itu kata Desmond, kedai pakaian, salun rambut dan kecantikan serta spa dan pusat refleksologi tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP yang berlangsung sehingga 26 Januari ini.
Sementara itu, untuk bahagian lain di Sarawak termasuk Miri, Bintulu dan Kuching yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kebanyakan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
“Kecuali aktiviti hiburan seperti di kelab malam atau pub, taman tema, pusat karaoke, panggung wayang, rumah urut, spa dan refleksologi juga tidak dibenarkan,” katanya.