
BINTULU : Seunit motosikal Yamaha EGO AVANTIZ 125cc menanti pemenang cabutan bertuah dalam Program Santai Bersama Belia yang diadakan di ADAP Villa Kampung Kemunting, esok.
Program anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N67 Jepak itu turut menyediakan pelbagai hadiah menarik seperti jam tangan pintar, telefon bimbit, baucer barangan sukan dan sebagainya tajaan Timbalan Ketua Cawangan PBB Jepak Dato Pengiran Daud Pengiran Putra.
Selain cabutan bertuah, pelbagai aktiviti seperti persembahan kugiran dan nyanyian, gendang melayu, pemuzik jalanan, zumba, acara bermotosikal, pertandingan dart turut diadakan bagi memeriahkan program.
Program Santai Bersama Belia ini antara lain untuk menghimpun, beramah mesra, bertukar idea dengan belia yang mewakili kelab, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bintulu
Dalam pada itu, jurucakap penganjur, Awang Hamid berharap kehadiran dan sokongan belia dalam program ini kelak akan memberi makna besar terutama dalam menggalakkan penglibatan golongan tersebut dalam aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.
Dijangkakan calon GPS bagi Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Adun Kakus Datuk John Sikie Tayai, Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip dan Adun Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming akan hadir memeriahkan program yang dijadualkan berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 11 malam.
Pertanyaan dan keterangan lanjut hubungi Hamid di talian 013-8385701 atau ahli jawatankuasa penyelaras Hamsya Bujang (012-8723348).