KOTA SAMARAHAN: Kepantasan pertambahan populasi daripada 10,000 pada tahun 2000 hingga 40,000 masa kini menjadikan Kota Samarahan dikenali sebagai bandar ilmu yang sesak, pantas membangun dan terus disapa pembangunan prasarana.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos dalam pertemuan khas semalam berkata, menjelang tahun 2050, lebih setengah juta populasi di bandar baharu ini.
“Dengan wujudnya dua jambatan iaitu Jambatan Batang Samarahan dan Jambatan Batang Sadong, ia merancak-
kan lagi pembangunan di kawasan itu.
“Tidak lama lagi, jalan pesisir antara dua jambatan ini akan dibina,” katanya.
Malah kata Minos, Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) juga telah ditubuhkan.
“Banyak perbelanjaan digunakan untuk membina jalan baharu, menara telekomunikasi, menyalurkan bekalan air dan elektrik ke kawasan luar bandar di Sadong Jaya dan Asajaya.
“Saya juga melihat banyak pembangunan pertanian dan sektor pengeluaran bakal tiba di kawasan Samarahan,” tegasnya.
Bagaimanapun katanya, salah satu cabaran yang dihadapi penduduk di Samarahan ialah kesesakan lalu lintas.
“Kesesakan lalu lintas amat kritikal pada waktu puncak iaitu dari jam 5 hingga 8 pagi dan petang semasa hari bekerja.
“Kesesakan ini berlaku kerana banyak kawasan perumahan muncul, selain penduduk dari luar bandar menggunakan jalan raya terbabit untuk pantas bergerak ke Kuching,” katanya.
Kesesakan itu jelasya, dapat ditangani jika ART dilaksanakan, jambatan baharu menyeberangi Sungai Sarawak ke
Kampung Bako siap, serta jalan alternatif ke Pending dan bandar raya dibina.
“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan pembinaan lampu isyarat di bulatan Kota Samarahan ART dari Kota Samarahan ke Kuching,” jelasnya.
Katanya lagi, sekiranya kedua-dua projek ini siap kelak, ia akan meleraikan kesesakan lalu lintas di Samarahan.
Di peringkat MPKS pula, beliau memberitahu, banyak dana diperlukan untuk mencantikkan landskap, kemudahan
awam dan sebagainya di Samarahan.
“Kami mahu Kota Samarahan menjadi kawasan yang baik sebagai tempat pengajian tinggi serta dilengkapkan dengan kemudahan asas.
“Kami juga mempunyai pusat kesihatan, institusi latihan guru, teknikal dan sebagainya,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, bakal dibina ialah pejabat baharu MPKS yang menjadi ikon kepada Kota Samarahan kelak.
Seiring dengan perubahan zaman, kini terdapat pusat beli-belah, pasar basah, kedai makan, klinik, tadika, universiti dan institut perguruan di Samarahan.
Bagi memastikan Samarahan layak digelar sebagai kota masa depan, ia perlu dirancang lebih teliti dengan mengambil kira keperluan dan aspirasi penduduk.
Kemudahan seperti taman rekreasi dan hotel perlu dibina, sistem pengangkutan dimodenkan dan perancangan bandar perlu dilaksanakan dengan lebih kemas dan teratur.