Samarahan Ochimore raja libas, bawa pulang RM4,000

PASUKAN Samarahan Ochimore melakar sejarah tersendiri muncul juara Cabaran Sepak Takraw Kota Samarahan, Piala Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan 2021.
Bagaimanapun, wakil tuan rumah itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 (16-21, 21-29, 22-20) ke atas BandarayaKU 1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan petang semalam.
Ia sekali gus menyaksikan barisan pimpinan jurulatih berpengalaman (Naruddin Pawi) itu membawa pulang wang tunai RM4,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Sambil hadiah wang tunai RM2,000, piala dan pingat diterima pasukan BandarayaKU 1 selaku naib juara.
Sementara itu, pasukan Pestas dan Samarahan Yukanna yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM700, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen P.197 Kota Samarahan, Rubiah Wang.
Kejohanan edisi kedua berlangsung tiga hari (8, 9, 10 Januari) anjuran Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (SDTA) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dan TourismTask Group Bahagian Samarahan.
Sebanyak 32 regu handalan dari pelbagai bahagian serta daerah di negeri ini turut bersaing.

Suara Sarawak