KOTA SAMARAHAN: Skuad Samarahan FA berazam untuk menempatkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021.
Pengemudinya Mohammad Sapian Mohamed Kassim memberitahu, meskipun tampak mencabar untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas, ia tidak mustahil.
“Tiada yang mustahil dengan syarat mereka dapat menterjemah rancangan dengan baik pada perlawanan sebenar nanti.
“Saya percaya ia satu tugas yang amat mencabar tetapi yakin pemain mampu merealisasikannya,” ujar Mohammad Sapian kepada Arena Suara Sarawak.
Menurutnya lagi, sekiranya berjaya melangkah ke pentas final ia dianggap sebagai bonus.
Penampilan pasukan Samarahan FA pada pusingan akhir yang diibarat sebagai bidan terjun, mengisi satu lagi slot selepas pilihan juara Kuching City FC II (KC FC II) menarik diri.
Pusingan akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 akan berlangsung di Bintulu bermula 28 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022 dan melibatkan enam pasukan.
Lima lagi pasukan yan akan turut berentap ialah Sarawak United FC II (SU FC II) Sri Aman FA, Kapit FA, Miri FA dan Bintulu FA.