KUCHING: Tekad untuk mengubah nasib keluarga, seorang ibu tunggal terdorong memulakan perniagaan sambal.
Nuraini Suhai Melian, 24, ibu kepada dua anak mengusahakan perniagaan Sambal Fly bersamasama ahli keluarga dan kawannya.
“Sambal Fly terdiri daripada tiga jenis iaitu sambal udang biasa, sambal udang segar dan sambal udang belimbing atau petai.
“Sambal ini bukan setakat terjual di Sarawak malah sudah ‘terbang’ ke Sabah dan Semenanjung Malaysia,” kata Nuraini.
Menurut Nuraini, perniagaan sambal diusahakan sejak Mac 2018 dengan bermodalkan sebanyak RM2,000.
Perniagaan mereka mula mendapat sambutan memuaskan setelah mengambil inisiatif menerusi media sosial dan platform membelibelah dalam talian seperti Shopee untuk menjual Sambal Fly.
“Kami menjual sambal ini dengan harga mampu milik iaitu serendah RM15 sehingga RM25 sebotol untuk berat 200 gram.
“Selalunya, peniaga lain menawarkan harga lebih daripada RM20 untuk sebotol sambal,” ujar Nuraini.
Tambahnya lagi, Sambal Fly enak dimakan dengan nasi atau mi goreng, sambal ikan bakar atau dicicah dengan buah asam.
Ditanya cabaran membuat sambal, Nuraini mendedahkan bahawa ada kalanya mereka sukar mendapatkan bekalan untuk membuat sambal.
“Bahan-bahan membuat sambal tidak sentiasa ada. Sebagai contoh, buah belimbing memang susah untuk diperoleh buat masa ini.
Kemudian, harga petai pula agak mahal harganya. “Bekalan udang biasanya kami dapatkan yang masih segar dari kolam iaitu milik kawan saya di Bako,” tambahnya lagi.
Nuraini turut berharap perniagaan mereka terus berkembang maju bukan sahaja di Kuching tetapi mampu tembus ke pasaran luar negara.
“Besar harapan saya untuk mengubah kehidupan keluarga dan membantu sahabat-sahabat saya berjaya bersama-sama,” kata Nuraini ketika mengakhiri perbualan.
Sebarang pertanyaan dan tempahan sila WhatsApp 018-986 1634 atau kunjungi gerai Sambal Fly di Aneka Rasa.