Trending

Sambung belajar, kerja atau jadi usahawan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan 8 Jun 2023 (Khamis) sebagai tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Direkodkan seramai 403,637 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2022 di 3,355 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Jadi, berapa peratus daripada jumlah tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi?

Sebelum ini, hangat dibincangkan data Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus pelajar lepasan SPM pada 2019 tidak berminat meneruskan pengajian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, menurut data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM), seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak sambung belajar.

Bagaimanapun, keputusan tidak melanjutkan pelajaran itu bukan bermakna mereka memilih untuk menganggur.

Ada yang berjinak-jinak memulakan perniagaan memandangkan peratusan pendaftaran sebagai usahawan di negara ini menunjukkan peningkatan.

Soalan lazim ditanya ketika sekolah rendah ialah; apakah cita-cita anda apabila dewasa?

Memasuki sekolah menengah, mungkin ada yang berubah cita-cita disebabkan berlaku perubahan aliran pembelajaran.

Kalau ditanya pula kepada generasi lepasan SPM, cita-cita itu semakin kabur memandangkan pemikiran mereka semakin luas.

Dan apabila ditanya kepada graduan Institusi Pengajain Tinggi (IPT), mereka hanya berharap mendapatkan pekerjaan secepat mungkin.

Lepasan SPM kini merupakan generasi Z dan terkenal sebagai generasi manja.

Didedahkan dengan ledakan teknologi dan media sosial, golongan ini juga mudah terpengaruh dengan kandungan video inspirasi yang dilakukan oleh usahawan popular.

Justeru, ada yang berbelah bahagi sama ada melanjutkan pelajaran atau menjadi usahawan.

KEMAHIRAN

Pilihan seterusnya ialah melibatkan diri dalam program teknikal dan latihan kemahiran. 

Pilihan ini mungkin menjadi pilihan paling popular bagi generasi Z memandangkan penyediaan fasiliti baik kerajaan pusat atau negeri dan peluang pekerjaan lebih jelas.

Sementara itu, ramai dalam kalangan belia memilih bekerja dalam ekonomi gig.

Ekonomi gig semakin mendapat tempat selepas pandemik Covid-19 dengan sokongan aplikasi teknologi.

Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 97.71 peratus pekerja gig dalam perkhidmatan e-hailing di negara ini ialah golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun.

Baru-baru ini juga, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan membangkitkan isu kepentingan pelajar menengah di negara ini didedahkan kepada ilmu keusahawanan.

Ujarnya, statistik merekodkan hanya 40 peratus daripada 500,000 lepasan SPM melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, IPT atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setiap tahun.

Baki tidak melanjutkan pelajaran mungkin bekerja dalam sektor kilang atau e-hailing dan terus menambah jumlah penduduk dalam kumpulan B40 di negara ini.

JOM SAMBUNG BELAJAR

Melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dilihat masih penting untuk sektor-sektor tertentu.

Sektor seperti kesihatan, pendidikan, kejuruteraan dan sebagainya memerlukan pendidikan di peringkat IPT.

Bagi lepasan SPM, bijaklah memilih laluan masa depan anda agar tidak menyesal kemudian hari.

Antara hala tuju lepasan SPM terkenal untuk mereka yang berminat melanjutkan pelajaran ialah IPTA, IPTS atau di Tingkatan Enam.

Terdapat juga pilihan Matrikulasi dan Asasi sebagai fasa persediaan sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Pelajar yang berminat menjadi guru boleh memohon ke Institut Pendidikan Guru (IPG).

Bagi mereka yang meminati bidang kemahiran boleh mendaftar TVET.

Skop pengajian TVET memberi penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

Selain percaya kepada konsep rezeki yang ditentukan, kita harus akur bahawa hala tuju dan masa depan kita dicorakkan pada hari ini.

Jangan bandingkan jalan hidup orang lain terhadap diri sendiri dan anda harus tentukan kejayaan anda sendiri.

Pastikan tenaga boleh guna negara tidak dibazirkan dan meletakkan diri kita lebih selesa berbanding hari ini.

Ia sekali gus menepis dakwaan bahawa rakyat Malaysia terlalu berharap dan bergantung kepada subsidi kerajaan sehinggakan tindakan menarik semula subsidi atau tidak memberi bantuan dilihat seolah-olah satu kesalahan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru