Sambut Gawai di rumah sendiri

KUCHING: Masyarakat Dayak yang merayakan perayaan Hari Gawai diingatkan untuk kekal di rumah dan jangan mengunjungi atau melakukan sebarang lawatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Wanita PRS Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, perayaan Gawai boleh diraikan di dalam rumah dan berhubung dengan ahli keluarga lain melalui panggilan telefon sambil mendoakan mereka.

“Hari Gawai hanya sehari. Walaupun perayaan Gawai akan disambut secara berbeza tahun ini kerana pandemik Covid-19, tetapi maksud sebenarnya Hari Gawai akan tetap dirasai, ”katanya, semalam.

Beliau memberitahu, kesyukuran perayaan ini harus mempunyai makna yang lebih besar jika individu tersebut mengambil keberkatan walaupun jauh daripada orang tersayang.

“Kita harus menyedari bahawa kita semua selamat di rumah,” tegasnya.

Katanya lagi, penduduk rumah panjang juga mesti mengingatkan pengunjung atau ahli keluarga dari tempat lain untuk tidak pergi atau pulang ke rumah panjang masing-masing.

“Sambutan perayaan ini harus dilakukan di dalam ‘bilik’ kita sendiri,” katanya sambil memberitahu setiap orang mesti berdisiplin menjaga kebersihan dan mematuhi SOP.

Suara Sarawak