Sambut Syawal dan Gawai di luar kebiasaan demi keselamatan diri – Huang

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menasihatkan orang ramai supaya menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak secara sederhana.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara ini.

Menurutnya, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga demi melindungi diri, keluarga dan komuniti.

“Walaupun mungkin ‘tidak biasa’ dengan suasana baharu ini tetapi sekurang-kurangnya dapat melindungi keluarga daripada Covid 19,” katanya dalam perutusan khas sempena Aidilfitri dan Gawai.

Beliau yakin rantaian wabak Covid 19 dapat dicegah sekiranya semua pihak memberikan kerjasama.

Pada masa yang sama katanya, orang ramai perlu mementingkan kebersihan di samping menggunakan pelitup muka dan menjaga jarak sepanjang sambutan perayaan itu

“Oleh kerana itu, saya menasihatkan seluruh rakyat khususnya di DUN Repok agar mematuhi arahan serta langkah-langkah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan Gawai, beliau berkata, sebanyak 87 buah rumah panjang di kawasannya menerima sumbangan tersebut.

“Secara keseluruhan sebanyak 1,327 pintu menerima sumbangan ini. Ia merupakan sebahagian Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menjaga kesejahteraan rakyat.

“Kita amat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana amat memahami keperluan rakyat khususnya di DUN Repok, “ujarnya.

Suara Sarawak