Sambut Tahun Baharu Cina dengan norma baharu

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mengingatkan orang ramai untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina dengan bertanggungjawab.
Kui Hian dalam kenyataan hari ini berkata terdapat peningkatan kes Covid-19 di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengumumkan tiada perhimpunan awam atau perayaan dibenarkan.
Jelas beliau, untuk Tahun Baharu Cina ini, hanya ahli keluarga dibenarkan untuk menziarahi (tidak lebih 20 orang dalam satu masa) pada hari pertama Tahun Baharu Cina.
“Mari kita meraikan Tahun Baharu Cina ini dengan norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh JPBNS.

“Sentiasa memakai pelitup muka, elakkan kawasan yang sesak, kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan, elakkan berkumpul dalam jumlah yang ramai dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal,” pesan beliau sambil menambah sayangi keluarga anda dan memastikan mereka selamat dari Covid-19.
Dalam kenyataan yang sama, Kui Hian bersama Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng dan Timbalan Datuk Bamdar Kuching Selatan, Hilmy Othman menghiaskan tugu kucing di Padungan dengan pakaian tradisi Cina bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Tugu Kucing merupakan monumen ikonik yang dihiaskan dengan pelbagai kostum tradisi berlainan untuk perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Gawai Dayak, Hari Deepavali dan Hari Natal.
Ia merupakan sambutan yang penting dan bermakna yang melambangkan kepelbagaian budaya di bandar raya ini.

Suara Sarawak