
KUCHING: Sambutan ambang Tahun Baharu 2023 yang dijadual bakal diadakan di Tebingan Sungai Kuching kini dipindahkan ke lokasi baharu, iaitu di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perubahan itu bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan sambutan meriah seumpamanya susulan negara ditimpa bencana banjir.
“Acara akhir tahun seperti ini lazimnya untuk kita mengingati apa yang telah berlaku sepanjang tahun 2022. Tetapi kebelakangan ini Malaysia menghadapi musibah banjir, bukan hanya di Semenanjung tetapi termasuk di Sarawak.
“Namun cuaca buruk ini tidak menjadi penghalang untuk kita meneruskan sambutan. Oleh sebab itu setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada Kerajaan Sarawak, maka sambutan ini tetap diteruskan namun dalam skala yang lebih kecil dan lokasi perayaan turut diubah,” katanya pada sidang media Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata lokasi baharu yang lebih kecil itu dijangka hanya boleh menampung sekitar 3,500 individu yang hadir secara fizikal.
“Maka kita akan menyediakan skrin besar di luar lokasi sambutan termasuk di Dataran Perayaan berhampiran untuk mereka yang lain menonton dari luar,” ujarnya.
Tambahnya, selain daripada itu acara persembahan lain yang telah dirancang untuk sambutan bertemakan ‘Lets Celebrate Together’ itu adalah sama dan tiada sebarang perubahan dilakukan.
Pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air iaitu Datuk Awie, Datuk Aisyah serta artis tempatan Sarawak antaranya kumpulan The Crew..
Kemuncak pada jam 12 tengah malam pula, pengunjung akan menyaksikan pelbagai persembahan bunga api.