PUSA: Sambutan Gawai dan Raya yang diraikan serentak berjaya mengetengahkan unsur dua budaya berbeza dalam satu acara menunjukkan keunikan yang ada di negeri ini.
Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri disambut cuma selang beberapa hari yang secara kebetulan pada cuti sekolah menjadikan perayaan bertambah meriah.
“Sarawak sememangnya unik. Masa itu kita beraya, masa itu juga kita bergawai. Kelihatan masyarakat bergaya dengan pakaian tradisional masing-masing.
“Inilah budaya masyarakat Sarawak yang harus kita kekalkan dan perpaduan yang terjalin selama ini juga harus dipelihara,” ujarnya.
Menurut Rohani, Majlis Sambutan Gawai dan Raya Peringkat Dun Beting Maro tahun ini sangat meriah.
“Saya harap sambutan perayaan berganda ini menggembirakan semua dan kita dapat merasai nikmatnya beraya,” katanya merasmikan majlis tersebut, malam semalam.
Sebagai wakil rakyat daripada GPS, beliau sentiasa memberikan komitmen terbaik untuk rakyat.
“Saya faham, tidak semua yang kita lakukan dapat memuaskan hati semua pihak. Bagaimanapun, saya berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik… sedaya-upaya, demi kemajuan dan kesejahteraan bersama,” ujarnya.
Rohani terdahulu menyampaikan sumbangan RM112,000 kepada 10 masjid bagi tujuan Program Ibadah Korban 2019 untuk Dun Beting Maro.
Menurutnya, dengan sumbangan berkenaan ia membolehkan pihak masjid selaku pengelola membuat persiapan awal menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.