ARTIKEL

Sambutan Hari Krismas meriah seluruh negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kemeriahan sambutan Hari Krismas semalam dirasai di setiap negeri dengan penganut agama Kristian beramai-ramai hadir ke gereja selain meraikan perayaan itu dengan langkah berjaga-jaga terhadap peningkatan kes COVID-19 dalam negara melalui pemakaian pelitup muka.

Seperti kebiasaan di ibu negara, penganut agama Kristian termasuk kalangan warga asing datang memenuhi beberapa gereja di sini sejak awal pagi bagi mengikuti acara keagamaan mereka.

Tinjauan Bernama mendapati mereka berkunjung ke gereja dalam suasana ceria dengan berpakaian berwarna-warni dan ada sebahagian juga memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 walaupun ia tidak diwajibkan ketika berada di dalam rumah ibadat itu.

Paderi Paroki Cathedral of St John’ Gerard Theraviam memaklumkan lebih 4,000 penganut agama itu telah mengunjungi gereja berusia 68 tahun itu sejak semalam dan terdapat tiga sesi mendengar misa hari ini, masing-masing dua sesi sebelah pagi dan satu sesi sebelah petang.

Di SABAH, sambutan Krismas diraikan secara sederhana namun meriah dengan penganjuran rumah terbuka seperti Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Penampang hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan sempena Krismas menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengingati asas kemasyarakatan dan kekeluargaan rakyat Sabah sejak dahulu iaitu bersatu di sebalik kepelbagaian dalam menjaga keharmonian seluruh rakyat di negeri ini.

Hajiji juga mengingatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard dalam mengekang penularan COVID-19, antaranya dengan menjaga kebersihan diri, mematuhi penjarakan sosial dan sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan tumpuan awam.

Sementara itu, Bandaraya Kota Kinabalu yang selalunya sibuk pada musim perayaan kelihatan lengang hari ini dengan orang ramai mengambil kesempatan cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di pinggir dan luar bandar.

Di MELAKA, Cheryl De Silva, 33, dari Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini berkata sambutan Hari Krismas di perkampungan itu meriah namun beliau menyambut perayaan tersebut secara sederhana pada kali ini kerana bimbang dengan penularan COVID-19 yang meningkat.

“Mungkin kali ini saya akan mengehadkan kehadiran tetamu…bimbang juga nak sambut secara besar-besaran kerana kes COVID-19 sedang meningkat walaupun tidak terlalu ketara.
“Walaupun disambut secara sederhana namun ia tetap meriah. Saya dah hias rumah seperti tahun-tahun sebelum ini, lampu-lampu juga siap dipasang,” katanya kepada Bernama.

Di PERAK, penganut Kristian dilihat mula mengunjungi Church of Our Lady of Lourdes di Ipoh seawal kira-kira 8 pagi sempena sambutan Hari Krismas bersama ahli keluarga dan saudara dalam suasana meriah, dengan upacara keagamaan itu pula bermula pada 9 pagi.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung tidak putus-putus mengunjungi gereja berkenaan bagi menjalankan upacara keagamaan yang berlangsung sehingga 10 pagi selain turut kelihatan mengenakan pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan COVID-19.

Di SELANGOR, penganut Kristian mula tiba di Church of Our Lady of Lourdes Klang seawal 8 pagi untuk menjalankan acara keagamaan bersama keluarga dan sanak saudara dalam suasana yang meriah.

Rata-rata pengunjung yang hadir ke gereja itu turut mengenakan pelitup muka.

Di SARAWAK, tinjauan Bernama di sekitar Bandaraya Kuching mendapati hujan renyai tidak menghalang penganut agama Kristian memenuhkan gereja sejak awal pagi tadi untuk menghadiri upacara keagamaan, antaranya di Gereja Blessed Sacrament Church dan St Joseph’s Cathedral.

Pada petang ini juga, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg dijangka menghadiri rumah terbuka Krismas Bishop of Kuching di St Thomas’s Cathedral, Kuching.

Begitu juga di PAHANG dan TERENGGANU cuaca mendung dan hujan pada sebelah pagi tidak menjadi alasan bagi penganut agama Kristian mengunjungi gereja bagi menjalankan upacara keagamaan di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi catatan di laman Facebook rasminya turut mengucapkan selamat Hari Natal kepada mereka yang menyambutnya dan berharap semoga perayaan itu membawa kebahagiaan, kemakmuran, keamanan serta keharmonian.

Di NEGERI SEMBILAN, paderi gereja Church Of The Visitation, Xavier Andrew, berkata lebih 2,000 penganut Kristian tiba di gereja berusia 175 tahun yang terletak di Seremban seawal 7.30 pagi tadi bagi mengikuti upacara keagamaan bersempena Hari Krismas semalam.

“Saya bersyukur, sambutan Hari Krismas kali ini meriah, penganut Kristian terutamanya golongan muda bersama-sama mengikuti upacara keagamaan dan karol iaitu nyanyian puji-pujian sempena Hari Krismas di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Di PULAU PINANG, Gereja St Anne di Bukit Mertajam dan Gereja St George’s Anglican di bahagian pulau menjadi tumpuan penganut agama Kristian termasuk warganegara asing bagi mengikuti upacara keagamaan mereka sempena perayaan Hari Krismas.

Kebanyakan gereja di negeri itu telah dipenuhi penganut agama Kristian sejak semalam untuk melakukan upacara keagamaan dan perayaan tersebut disambut secara sederhana namun meriah dengan amalan kunjung-mengunjung.

Sementara itu, orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk menggunakan cuti yang ada untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan seperti yang dapat dilihat di Batu Pahat, Johor; Alor Setar, Kedah dan Arau, Perlis.

Tinjauan di ketiga-tiga negeri itu mendapati, pusat beli-belah dipenuhi orang ramai dan ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan perhiasan Krismas yang disediakan oleh pihak pengurusan gedung beli-belah berkenaan. -BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Projek panel solar kurangkan kos elektrik

SEBUYAU: Kolej Universiti i-CATS telah melaksanakan Projek Pemasangan Panel Solar di Kampung Lumut Baru yang bertujuan untuk membantu penduduk di kawasan ini. Projek itu dilaksanakan

Jom lihat flora, fauna waktu malam

KUCHING: Orang ramai berpeluang untuk melakukan aktiviti Urban Forest Night Walk di Sama Jaya Nature Reserve, pada waktu malam bermula jam 7 hingga 10 malam.

Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 meriah

JAKARTA: Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2024 semalam dimeriahkan dengan kehadiran Delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia. Delegasi ISWAMI Malaysia seramai 33 orang yang

BERITA TERBARU

Sawit naik RM3,750 satu tan

KUALA LUMPUR: BMI Country Risk & Industry Research (BMI), sebuah badan di bawah Fitch Solutions Group Ltd, telah membuat semakan dan menaikkan unjuran bagi harga

JKT penolong jurulatih Kuching City FC ‘B’

KUCHING: Keterujaan buat bekas penyerang berpengalaman yang juga kapten Kuching City FC, Joseph Kalang Tie, 37, dalam menelusuri dunia bola sepak dengan persepsi berbeza. Jika

Dua sahabat didakwa cubaan bunuh lelaki

KUCHING: Dua sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki berusia 36 tahun dalam satu kejadian tular di media sosial