Sambutan Hari Sarawak di Bintulu

KUCHING: Ahli jawatankuasa penganjur sambutan Hari Sarawak 2019 semalam mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri.

Mengetuai delegasi tersebut ialah Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, selaku menteri yang bertanggungjawab untuk majlis bersejarah tersebut.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk menjemput Tun Taib merasmikan Hari Sarawak yang akan berlangsung di Bintulu pada 22 Julai depan.

Dalam pada itu, sebanyak tujuh acara menarik akan dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak bermula 20 hingga 22 Julai di beberapa tempat.

Acara kemuncak sambutan ialah Rapat Raksasa Hari Sarawak di Jalan Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Antara delegasi lain yang hadir termasuk Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai; Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang; Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail dan Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr. Annuar Rapa’ee.