KUCHING: Suasana kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di kawasan Parlimen Santubong setakat ini tenang dan teratur.
Pengarah Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Santubong Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan masyarakat setempat terhadap calon juga amat baik di Dun Pantai Damai, Dun Tanjong Datu dan Dun Demak Laut.
Menurutnya, sambutan luar biasa terhadap calon GPS disebabkan Datuk Seri Nancy Shukri merupakan anak tempatan dan dikenali masyarakat di Parlimen Santubong.
“Calon GPS amat popular kerana sudah lama menjadi ahli parlimen dan menyerlah sebagai menteri di beberapa kementerian peringkat persekutuan.
“Kita juga dapat lihat calon kita mesra dengan setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai persiapan Jentera GPS Parlimen Santubong pada PRU-15.
Dr Abdul Rahman yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjelaskan, kaedah kempen kali ini lebih kepada perjumpaan santai dengan masyarakat.
Malah menurutnya, jentera pilihan raya GPS sentiasa aktif di peringkat cawangan dan ranting.
“Jentera kita sudah bergerak sejak Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) lalu di seluruh kawasan,” ujarnya.
Tambahnya, setakat ini tiada isu atau masalah besar berlaku di kawasan Parlimen Santubong.
“Pembangunan fizikal dan projek infrastruktur asas yang dibiayai Kerajaan Sarawak dilaksanalan merata tempat,” jelasnya.
Sementara itu, Parlimen Santubong menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Nancy, Mohamad Zen Peli mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas Affendi Jeman.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang pada ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 19,485 undi.