Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri

KUCHING: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1442H- /2020M bakal berlangsung di bandar raya Kuching dari 28 hingga 29 Oktober.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia dimulakan dengan majlis kesyukuran zikir dan majlis perasmian Taman Islam Darul Hana.

Menurutnya, sambutan diteruskan dengan majlis perhimpunan Maulidur Rasul pada 29 Oktober di Dewan Kompleks Islam.

“Sambutan ini merupakan salah satu daripada perayaan Islam dan upacara rasmi kerajaan negeri yang diadakan setiap tahun.

“Bahagian Kuching dipilih sebagai pusat sambutan tahun ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, Sabtu.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka hadir untuk menyerikan lagi acara sambutan Maulidur Rasul.

Menurutnya lagi, Tun Taib juga bakal menyampaikan penghargaan khas Majlis Islam Sarawak melibatkan kategori jabatan/agensi Islam Khas Covid-19, pengurusan dan pentadbiran masjid cemerlang, daie atau aktivis dakwah dan pelajar STPM & SPM cemerlang.

Selain itu tambahnya, empat program sampingan turut diadakan merangkumi Forum Ehwal Islam pada 29 Oktober di Masjid Abyad, ceramah agama di seluruh bahagian, kayuhan harmoni mesra ummah dan pertandingan poster digital.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Residen Bahagian Kuching Sherrina Hussain dan Pengarah JAIS Khalidi Ibrahim.

Suara Sarawak