ARTIKEL

Aaron Ago (duduk kanan) berkesempatan menyertai aktiviti yang diadakan di reruai RTM Miri.

Sambutan Minggu Perpaduan wadah perpaduan dan integrasi erat hubungan masyarakat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi baharu yang berkesan untuk memperkukuh serta mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata, SMP merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi meraikan kepelbagaian di negara ini berlandaskan tiga prinsip asas hubungan antara etnik, iaitu faham, hormat dan terima.

Tegasnya, semua pihak perlu menghayati ketiga-tiga prinsip tersebut untuk memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

“Melalui program sebegini, masyarakat pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi khususnya berkaitan adat dan budaya pelbagai etnik.

“Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai tapak integrasi baharu dalam usaha mengeksplorasi detik-detik perpaduan yang manis dalam membina sebuah negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Perpaduan Miri sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Bakam Point di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pengukuhan perpaduan secara teknikal telah pun terlaksana tetapi secara konsepnya, ia masih jauh lagi untuk dicapai.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa sebuah kementerian yang menerajui perpaduan telah dibina dan diterima secara sah dari segi perundangan, tetapi masih lagi terdapat bibit-bibit masyarakat yang hanya memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

Justeru, beliau berharap dengan mengamalkan tiga prinsip berkenaan, rakyat dapat sama-sama mencipta lebih banyak momen perpaduan yang lebih indah, dan sekali gus mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.

SMP pada kali ini bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ yang akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang dapat memupuk keharmonian masyarakat, iaitu seiring dengan Kerangka Perpaduan Malaysia MADANI yang telah dihasilkan oleh KPN bagi mencapai aspirasi perpaduan nasional.

KPN telah memilih Negeri di Bawah Bayu sebagai pembuka tirai SMP 2024 bagi peringkat negeri Sabah sekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia kemudian diikuti dengan sambutan di Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dan kemuncaknya telah diadakan di Johor paa 23 hingga 26 Mei lalu yang turut disempurnakan oleh Perdana Menteri.

Siri jelajah SMP 2024 diteruskan ke negeri-negeri lain yang dijadualkan hingga 30 Jun ini, dan program di Miri ini merupakan antara siri jelajah SMP Peringkat Negeri Sarawak.

Aaron meniup sumpit sebagai acara simbolik bagi perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Miri hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU