ARTIKEL

Sampadi berpotensi jadi pekan pintar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan perancangan pembangunan organik bagi kawasan Tanjong Datu, khususnya dari Telok Melano hingga Lundu, termasuk Sampadi yang berpotensi dibangunkan sebagai pekan pintar dengan kemudahan moden.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang dengan mengambil kira pembangunan infrastruktur, penempatan semula penduduk serta penyediaan kemudahan teknologi maklumat (IT).

Sampadi dikenal pasti berpotensi dibangunkan berikutan kedudukannya berhampiran Trombol yang bakal menempatkan kampus Universiti i-CATS dan menjadi pemangkin pembangunan kawasan sekitarnya.

“Saya menyokong permintaan Azizul untuk membangunkan Sampadi. Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan melaksanakan perancangan organik supaya kawasan itu menjadi tarikan dan lokasi program penempatan semula dengan kemudahan terkini.

“Kawasan itu boleh menjadi pekan pintar yang dilengkapi kemudahan moden termasuk IT, apatah lagi kedudukannya tidak jauh dari Trombol yang menempatkan universiti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regata Batang Kayan 2026 di Dataran Lundu, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pembangunan kawasan berkenaan turut dipacu pembinaan Jambatan Rambungan yang dijangka siap pada 2027 selepas Kerajaan Sarawak mengambil alih pelaksanaan projek itu.

Katanya, kontraktor baharu telah dilantik dan peruntukan tambahan disediakan bagi memastikan projek jambatan berkenaan disiapkan mengikut perancangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan untuk memperluas Pekan Lundu menerusi program penempatan semula.

Menurutnya, pembangunan kampus Universiti i-CATS di Trombol yang memberi tumpuan kepada bidang aeroangkasa dan ilmu terkini dijangka memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi serta pembangunan kawasan berhampiran, termasuk Sampadi.

Perkembangan itu boleh dilihat menerusi pembangunan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor yang turut mempengaruhi pertumbuhan kawasan sekitarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU