Samun, ancam rogol dan bunuh

BINTANGOR: Seorang pembantu kedai makanan nyaris menjadi mangsa rogol selepas disamun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jambatan Merah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, dalam kejadian kira -kira jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 17 tahun menunggang motosikal seorang diri sebelum dihampiri seorang lelaki yang tidak dikenali.

Katanya, suspek yang menunggang motosikal berasingan bertindak memukul mangsa dengan sebilah parang dari arah belakang sambil memaksanya memberhentikan kenderaan.

“Setelah itu, lelaki tersebut meminta mangsa menyerahkan barang peribadi miliknya.

“Mangsa yang ketakutan memberikan telefon bimbit yang terselit wang tunai RM50. Suspek turut memaksa mangsa ke suatu tempat untuk merogolnya dan mengancam membunuh mangsa sekiranya tidak menuruti kemahuannya itu ,” katanya kepada media.

Sekam berkata, mangsa meminta lelaki terbabit mendahului perjalanan ke lokasi yang dikehendakinya sehingga ke simpang sebelum jambatan Sungai Pilit Bintangor.

Namun dalam perjalanan itu katanya, wanita terbabit bertindak pantas dengan berpatah balik untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa yang ditemani anggota keluarganya kemudian tampil ke Balai Polis Meradong untuk membuat laporan berhubung kejadian terbabit.