
SIMUNJAN: Seekor buaya sepanjang 15 kaki telah ditangkap oleh pasukan Swift Wildlife Action Team (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Kampung Sampat, Sebangan di sini awal pagi semalam.
Menurut laman Facebook SFC, buaya dianggarkan seberat 400 kg itu terperangkap di dalam sangkar yang dipasang oleh pasukan SWAT, 26 Oktober lalu.
Katanya, perangkap tersebut dipasang susulan perkongsian pemilik akaun Facebook, Ismail Sakawi di laman Sebangan Kampung Ku pada 21 Oktober lalu.
Dalam perkongsian tersebut, dia berkata niat untuk memancing terbantut apabila nyaris disambar buaya besar.
Katanya, buaya yang berada sekitar dua kaki tersebut telah melompat dari gigi air di muara sungai.
Sehubungan itu, SFC menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada semasa menjalankan aktiviti memancing, menjala atau apa-apa jua aktiviti di persekitaran sungai.
Selain itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya boleh menghubungi talian hotline SFC di 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu) atau 019- 8290994 (Miri).