Sanggup rasuah RM500 untuk selamatkan diri

SERIAN: Suapan rasuah sebanyak RM500 masih tidak dapat menyelamatkan seorang pemilik premis daripada ditahan polis setelah didapati menjadikan premisnya sebagai transit penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Entubuh, Tebedu, pada Khamis.

Komander Briged Sarawak, SAC Mancha Ata menerusi satu kenyataan mengesahkan lokasi itu berjaya dikenal pasti sepasukan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, hasil maklumat awal risikan mendapati premis itu dijadikan tekong-tekong darat untuk transit keluar masuk warga Indonesia melalui jalan-jalan tidak sah.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis menjumpai beberapa barang-barang milik warga Indonesia yang diletakkan di bawah jagaan suspek (pemilik premis).

“Suspek turut cuba bertindak memberikan wang suapan RM500 kepada pasukan agar tidak dikenakan sebarang tindakan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, suspek telah ditahan di bawah Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan diserahkan kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mancha menegaskan pihaknya kini sedang menjalani operasi secara agresif bagi mengesan tekong-tekong atau orang awam yang bersubahat dalam aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan PATI di sempadan Sarawak-Kalimantan.

Dedahnya, setakat ini sebanyak 13 buah rumah di sekitar daerah Sematan, Lundun dan Serian serta enam individu telah diperiksa namun tiada sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang dikenal pasti.

Tegasnya, tindakan agresif juga akan diambil dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan menyekat kemasukan PATI selain memperkukuhkan kawalan sempadan Sarawak daripada dicerobohi.

BARANG…Barang-barang milik warga Indonesia yang berjaya ditemui di dalam premis milik suspek

 

RASUAH…suspek cuba memberi rasuah RM500 untuk dilepaskan namun tidak berjaya