ARTIKEL

Sanggup tempoh perjalanan jauh demi kakaktua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH: Hobi membela burung kakaktua bukan sekadar memberi makan dan minum mencukupi sebaliknya pemiliknya perlu berkorban masa serta menganggap haiwan peliharaan itu sebagai ahli keluarga sendiri.

Sebagai pemilik burung kakaktua juga, kebanyakan mereka sanggup menempuh perjalanan jauh ratusan kilometer untuk aktiviti ‘freefly’ atau ‘membebaskan’ burung peliharaan itu sebagai aktiviti riadah demi memastikan perasaannya sentiasa terjaga termasuk mengelak stres.

Menurut pemilik, burung kakaktua yang menghadapi stres boleh merajuk atau biasanya bertabiat mencabut bulunya sendiri, namun jika dijaga dengan rapi, memelihara haiwan ini merupakan aktiviti yang menyeronokkan.

Seorang peniaga pakaian terpakai Mohd Rozilan Mat Yusoff, 43, dari Alor Setar, Kedah berkata dia pada mulanya hanya menonton video di YouTube berkenaan penjagaan serta pelbagai kandungan daripada pemilik burung kakaktua, malah terkejut kerana warga Malaysia turut terlibat dengan hobi itu.

Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, Rozilan bersama isterinya Steaphnie Saiful Ahmad Savaran, 33, mula berminat untuk membela burung kakaktua.

“Nak kata susah (membela burung kakaktua), tak susah dan hobi itu mengalahkan wang ringgit. Saya bela burung pun daripada mereka kecil lagi kerana mudah untuk membentuk ikatan berbanding yang sudah dewasa,” katanya kepada Bernama.

Steaphnie pula berkata minat membela burung kakaktua itu merupakan satu hobi yang tidak dirancang olehnya dan suami malah pernah kecewa apabila dua daripada tiga ekor burung kakaktua mereka telah dicuri pada Ogos tahun lepas.

“Kejadian itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan hobi ini dan membela lebih banyak burung kakaktua sebab dah sebati dengan burung itu. Rasa sayang dengan kakaktua itu memang kekal,” katanya yang memiliki 10 ekor burung kakaktua pelbagai jenis berusia antara tiga bulan hingga tiga tahun.

Sementara itu, peniaga makanan Mohamad Fakharuddin Mumfit, 35, berkata aktiviti ‘membebaskan’ burung kakaktua secara berkumpulan juga secara tidak langsung dapat merapakan silaturahim antara peminat serta pemilik haiwan peliharaan itu.

Mohamad Fakharuddin yang memiliki tiga ekor burung kakaktua berkata, minat membela haiwan peliharaan itu disifatkan sebagai satu hobi yang tidak mahal jika dibandingkan dengan minat lain seperti mengubah suai kereta, yang penting kemahuan sendiri.

“Kalau ada yang minat (bela burung kakaktua), jangan takut, insya-Allah boleh dan masa kena beri kepada burung itu, dilayan macam anak atau keluarga sendiri dan tidak boleh buat mereka stres,” katanya yang berasal dari Langkawi, Kedah.

Pemilik tiga ekor burung kakaktua, Fahmi Abu Bakar, 38, yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata dia menggunakan kesempatan melakukan aktiviti ‘membebaskan’ haiwan peliharaannya itu dengan beriadah bersama keluarganya.Fahmi berkata program besar aktiviti ‘membebaskan’ kadangkala diadakan sekali setahun, namun tidak menjadi masalah kerana hampir setiap minggu pada Jumaat dan Sabtu dia cuba meluangkan masa untuk melakukannya bersama keluarga di Johor.

“Tahun lepas Terengganu (acara besar), tetapi tiada masalah macam hari ini, saya sanggup datang (ke Perak) untuk beriadah bersama keluarga. Hari ini saya bawa mak, ayah, isteri dan anak (seorang) saya untuk tengok burung kakaktua freefly,” katanya.

Pada pendapatnya, kesemua jenis hobi boleh dianggap mahal termasuk membela burung kakaktua, namun paling penting adalah kepuasan dinikmati masing-masing apabila melakukan sesuatu perkara.
Kesemua pemilik kakaktua ditemui pada program Silaturahim Santai Free Fly anjuran Perak Parrot Community yang diadakan di Iskandar Polo Club di sini, baru-baru ini.

Presiden Perak Parrot Community Mohd Fairul Mohd Mustafa, 40, berkata penganjuran program itu mengumpulkan hampir 200 orang termasuk pemilik serta peminat burung kakaktua dari seluruh negara.
— BERNAMA

BERITA LAIN

65 murid keracunan lepas makan kuettiau sup

SUNGAI PETANI: Seramai 65 murid Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya dekat sini dipercayai mengalami keracunan makanan selepas makan di kantin sekolah pagi semalam. Yang Dipertua

Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah flat

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah unit rumah flat di tingkat empat, Blok C, Apartment Lestari, Damansara Damai, Selangor kira-kira

BERITA TERBARU

Manchester City juara lagi

PENYANDANG juara Manchester City mencipta sejarah kejohanan teratas bola sepak England apabila mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat berturut-turut. Kejayaan diraih anak

Bertemu semula lepas 47 tahun

KUCHING: Pelajar Tingkatan Enam Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri 1977 berkumpul di Hotel Serapi, di sini untuk majlis makan malam perjumpaan pada 18

100 guru berpeluang lihat prototaip ART dari dekat

KUCHING: Seratus warga pendidik berpeluang melihat secara dekat prototaip kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dalam satu lawatan mereka di sini, baru-baru ini. Delegasi yang terdiri