Sangtam Naga dari India bakal beraksi di RWMF 2019

NEW DELHI: Sebuah kumpulan kebudayaan etnik Sangtam Naga dari negeri Nagaland yang terletak di timur laut India akan membuat persembahan di Festival Muzik Dunia Hutan Hujan Sarawak.

Edisi 2019 festival tahunan itu akan berlangsung dari 12 hingga 14 Julai di Kampung Budaya Sarawak di Kuching.

Negara lain yang mengambil bahagian termasuk Bhutan, Colombia, Jepun, Madagascar, Mauritius, New Zealand dan Sepanyol.

Lima kumpulan muzik Sarawak akan menampilkan muzik dan melodi daripada suku kaum Borneo yang berbeza.

Acara itu akan mengetengahkan bengkel muzik, persembahan budaya dan kraf tangan, gerai makanan dan konsert pada sebelah malam, menurut Lembaga Pelancongan Sarawak.

Sangtam Naga dari India memiliki warisan budaya yang kaya dan lagu serta tarian rakyatnya diturunkan dari satu generasi ke generasi menerusi tradisi lisan.

Mereka merupakan antara suku kaum utama yang mendiami Nagaland.

Kampung mereka membentuk unit sosial yang rapat dan terdiri daripada isi rumah yang berkahwin dengan pelbagai suku kaum.

Suara Sarawak