Sanitasi di Stadium Tertutup Miri

MIRI: Pihak bomba menjalankan operasi sanitasi ke atas Stadium Tertutup Miri yang bakal dijadikan sebagai Pusat Ujian Calitan Sehenti.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, operasi sanitasi dilakukan di dalam kawasan stadium, tempat menunggu giliran, bilik menunggu dan semua bilik tandas.

“Operasi dilakukan oleh 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral yang diketuai oleh Komander Operasi Thomas Bigau dengan menggunakan peralatan Sanitasi seperti ‘Misk Blower’ dan penyembur tangan.

“Ia melibatkan keluasan 200 meter persegi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, tambahnya, BBP Miri Sentral juga menjalankan operasi sanitasi bas untuk pengangkutan membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke Miri yang ditempatkan di sebuah hotel di sini untuk kuarantin.

“Penyemburan dilakukan di dalam bas, ruang tempat barang, ‘dashboard’ dan tempat menyimpan barang di bawah dan di bahagian luar bas,” ujarnya.

SANITASI… Anggota bomba melakukan penyemburan ke atas tempat menunggu giliran di Stadium Tertutup Miri.

Suara Sarawak