Sanitasi ruang setiap dua jam

KUCHING: Pusat beli-belah Plaza Merdeka Kuching memulakan operasi semalam mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan.

Tinjauan Suara Sarawak seawal jam 9.30 pagi di pusat belibelah itu mendapati, kesemua kakitangan termasuk peniaga dan pelanggan beratur di pintu masuk.

Hanya satu pintu masuk dan keluar dibuka kepada orang ramai. Setiap individu perlu beratur dengan jarak satu meter dan suhu badan diperiksa.

Butiran peribadi seperti nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan termasuk bacaan suhu badan turut dicatat.

Premis yang beroperasi turut menekankan SOP keselamatan yang tinggi termasuk tidak membenarkan pelanggan bersesak-sesak selain mengutamakan penjarakan sosial.

Pengarah Plaza Merdeka Datin Anriza Wong Cordero

Tangan pelanggan perlu disanitasi sebelum masuk ke dalam kedai.

Maklumat peribadi turut direkodkan.

Pengarah Plaza Merdeka Datin Anriza Wong Cordero berkata, pihaknya menekankan aspek keselamatan serta kebersihan setiap pelanggan dan kakitangan.

Beliau berkata, semua kakitangan perlu menggunakan pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial.

Menurutnya, kakitangan juga harus melakukan pemerhatian terhadap pelanggan dan pihaknya akan terus memperbaiki kecekapan SOP tersebut dari semasa ke semasa.

“Keselamatan merupakan aspek paling penting.

Kami mahu mereka (pelanggan) terus patuh dengan SOP ini, walaupun kebiasaan baharu ini agak baharu bagi kita.

“Kami lakukan langkah ini sebaik mungkin untuk memastikan semua pihak dapat mengamalkannya bagi memastikan mereka selamat.

“Setiap dua jam kami akan melakukan pembersihan dan nyahkuman setiap ruang yang selalu disentuh seperti butang lif, eskalator, tangga, tandas dan sebagainya,” tambahnya.