
SARIKEI: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen P.206 Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab menyantuni tujuh buah rumah panjang masyarakat Iban di kawasan Selidap Nanga Bangkit semasa kempen hari ketiga, hari ini.
Rumah panjang terbabit termasuk Rumah Jawi, Rumah Nicholas Abu Seman, Rumah Michael Rima, Rumah Anggie, Rumah Baja dan Peter Kilas.
Sebelum itu, beliau juga sempat singgah ke Surau Darul Ikhsan Bintangor bagi membantu pengurusan jenazah seorang penduduk kampung yang meninggal dunia.

Pada masa sama, beliau turut berkesempatan meluangkan masa menghadiri majlis Rindok Berambeh bersama-sama penduduk di Kampung Tanjong Bundong.
Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua PBB Cawangan Semop Datuk Abdullah Saidol.
Sepanjang lawatan, beliau turut berpeluang menyelami masalah sambil meninjau keperluan penduduk di setiap kawasan yang disinggahinya.
Kehadiran Yusuf dalam program seumpama itu bukanlah asing bagi penduduk di kawasan berkenaan kerana beliau sememangnya terkenal dengan sikap rajin turun padang sepanjang tempoh menjadi Ahli Parlimen Tanjong Manis.
Malah, sebahagian daripada projek pembangunan untuk rakyat di kawasan terbabit merupakan hasil kegigihan anak jati Kampung Paloh ini yang lantang dan tidak pernah jemu menyuarakan masalah rakyat di peringkat parlimen.