SAPA anjur Perhimpunan Negara Sarawak

KUCHING: Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) akan menganjurkan Perhimpunan Negara Sarawak bagi menuntut Kerajaan Sarawak mengemukakan usul untuk membahas Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Pengerusi penganjur yang juga Ketua Penerangan dan Publisiti SAPA Peter John Jaban berkata perhimpunan yang dijadual pada 28 April ini pada jam 4 petang di Padang Merdeka di sini, juga bertujuan menuntut status Sabah dan Sarawak dikembalikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menambah perhimpunan itu juga untuk mendesak agar Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan didraf semula bagi menjadikan Negeri-Negeri Borneo sebagai Negara seperti pada tahun 1963 hingga 1976.

(dari kanan) Lina Soo, Peter, Ng dan Alim menunjukkan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda, sempena sidang media Perhimpunan Negara Sarawak di sini hari ini.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH) harus membahas isu ini di DUN, bukannya asyik menyalahkan satu sama lain menerusi media,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir pengasas SAPA yang juga Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Lina Soo, Presiden SAPA Dominique Ng dan Setiausaha Pemantau MA63 SAPA Alim Mideh.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sarawak tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama untuk menyertai perhimpunan berkenaan bagi menyampaikan mesej kuat supaya perkara itu dibahaskan dalam persidangan DUN.

Peter turut menegaskan bahawa mereka akan menganjurkan perhimpunan yang lebih besar jika isu berkenaan tidak dibahaskan dalam persidangan DUN yang dijadual bermula 28 April nanti.

Suara Sarawak